Dari blog Bersama Mazidul...
Mungkin ramai pembaca mengenali wajah
di atas manakala sebilangan lagi barangkali terkeliru. Namun bagi
penonton filem tempatan dan televisyen, personaliti di atas tentunya
tidak asing kepada mereka.
Cuma wajahnya berbeza berbanding ketika dia menghiburkan ramai peminat sewaktu berkarya di pentas seni.
"Bang, tolong datang ke rumah saya sekejap, boleh? " soal Bob Kuman.
"Ada apa Bob?," soal saya.
"Abang tolong datang sahaja," pintanya.
Pada awalnya saya berasa agak
hairan dan menjangkakan Bob hanya sekadar bergurau. Terfikir, jika dia
berhadapan masalah, tentunya sebagai artis terkenal, dia mempunyai ramai
kenalan bersedia untuk membantu.
Apapun, hati kecil mendesak saya memenuhi permintaannya lalu mengajak kru 666, Razali Harun untuk menemankan saya bertemu Bob.
"Itu gambar saya, sewaktu dirawat di
Hospital Tawakal Kuala Lumpur. Malam tahun 2011 semasa sesi penggambaran
'Jangan Pandang Belakang Congkak', siri televisyen, saya terjatuh di
Hulu Langat, Selangor. Wahid Senario dan Lan Pet Pet antara saksi
kejadian itu. Dalam keadaan pening, semput dan sakit, saya terpaksa
memandu kereta sendiri ke hospital dan dibiarkan begitu sahaja. Masa
keluar dari pusat rawatan itu, saya diberitahu, berhutang lebih kurang 7
ribu ringgit dengan hospital dan saya kena bayar sendiri. Itu saya
tidak boleh terima. Penerbit tidak membantu sebab itu saya berasa kecil
hati. Mujur selepas itu, dapat rezeki sikit dan saya menjelaskan
sebahagian daripada caj hospital itu. Kini ada berbaki lebih tiga ribu
enam ratus ringgit lagi," ujar Bob.
Tambah Bob, dia dirawat di hospital terbabit dalam tempoh lebih 2 minggu.
Sambil berbual, saya perhatikan mesin oksigen dan wayar dimasukkan ke dalam hidungnya bertujuan untuk membantu pernafasan.
"Orang tidak cukup oksigen bang, tidak ubah seperti sayur layu. Kulit saya pun telah berubah warna," celah Bob.
"Saya sudah tidak boleh bergerak sejak
8 April lalu dan kemudian memakai mesin oksigen ini. Sebenarnya saya
bukan ingin menagih simpati masyarakat," katanya biarpun kelihatan dalam
kesakitan dan sukar menarik nafas.
"Kongsikan fakta, itu tidak salah," celah saya.
"Setakat ini beberapa kawan membantu saya. Antara mereka, Adlin Aman
Ramli. Dia bagi saya pinjam duit RM2,000 bang masa saya tengah susah,
sewaktu dirawat di Putrajaya. Itu sahabat saya bang. Dalam keadaan
begini, saya pun tidak boleh berkarya, tidak ada pendapatan. Mujurlah
gerai Bawal Power saya kongsikan bersama rakan mendapat sambutan dan boleh membantu sedikit dari segi kewangan," jelas Bob.
"Timbalan Presiden SENIMAN, Zed Zaidi,
pernah menghubungi saya untuk menghulurkan bantuan. Saya memaklumkan
wakil dia, bila simpati, dapat benda lain, dapat beras, dapat biskut.
Siapakah hendak membantu menjelaskan bil hospital saya? Saya rasa macam
malu," kata Bob lagi.
Bob memaklumkan saya, dia kini
amat memerlukan mesin dilengkapi tangki oksigen namun setakat ini tidak
mampu untuk menyewa keperluan itu.
"Bang, sekarang ini saya hanya ada RM36 dalam akaun simpanan," bisiknya.
Saya kemudian menghubungi Zed
menggunakan telefon bimbit. Mujur dalam kesibukan dengan kegiatan
seharian, dia masih berpeluang untuk mengangkat panggilan dari nombor
tidak dikenali.
"Melalui SENIMAN, saya telah
mengeluarkan surat sokongan kepada Kementerian Penerangan, Komunikasi
dan Kebudayaan di bawah Tabung Kebajikan Penggiat Seni tetapi setakat
ini belum mendapat sebarang keputusan dan berapakah jumlah bakal
diterima oleh Bob. Sebelum ini, beberapa artis seperti Nasir P. Ramlee
dan Kamal Pendek telah menerima sumbangan dari tabung terbabit," jelas
Zed.
Selepas berhubung dengan Zed, saya kemudian memaklumkan kejadian menimpa Bob kepada Penerbit program Melodi, TV3.
Untuk pengetahuan semua rakan
artis dan peminat, Bob sedang berada dalam keadaan lemah, tidak mampu
bergerak, apatah lagi untuk keluar dari rumah di Seksyen 11, Kota
Damansara, Petaling Jaya, Selangor.
Kepada pembaca ingin membantu Bob, sila hubungi Razali di talian 016 231 5812. Manakala berikut nombor akaun Bob (HUSNI MOHD RAWI) Maybank 1123-7100-7047.
Jika akaun dilaporkan disekat, bersabar dan sila rujuk entri Akaun Maybank Bob Kuman disekat. Ketahuilah, sesungguhnya kekadang berbuat kebaikan itu mempunyai cabaran tersendiri.
'Bantulah, semoga Allah sentiasa membantu sewaktu kita ditimpa musibah'
HEBAHKAN